Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

19 buah kedai makan terima sijil penggredan

pg06_160618_a.jpg

Sebanyak 19 buah kedai makan, restoran dan gerai makan di bawah Kawalan Jabatan Bandaran Tutong telah pun menjalani penilaian bagi tahun 2016 dan menerima sijil penggredan masing-masing pada majlis yang diadakan di Dewan Rumah Kediaman Rasmi, Pegawai Daerah Tutong, petang kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil-sijil ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong, Awang Shahminan bin Haji Tengah.

Semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, Awang Shahminan berkata, sijil penggredan ini hanya diberikan kepada premis-premis yang berjaya mencapai gred C dan ke atas sahaja.

Pada tahun ini, tidak ada premis makanan yang dapat mencapai gred A, manakala itu, lima premis makanan telah menerima sijil gred B dan 10 lagi menerima sijil gred C.

Manakala itu, sejumlah 13 lagi premis makanan tidak diberikan sebarang gred kerana pihak jawatankuasa penilaian mendapati premis-premis berkenaan tidak beroperasi pada waktu penggredan dijalankan.

Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong menjelaskan, pencapaian ini dianggap meningkat jika dibandingkan dengan pencapaian tahun lepas kerana pada tahun ini, jumlah premis yang diberikan gred B meningkat daripada dua kepada lima, namun pada tahun ini, tidak ada premis yang berjaya mencapai gred A.

Setiap tahun, panel pemeriksa melaksanakan penggredan kedai makan dan restoran bagi bangunan komersial, bangunan pihak swasta dan bangunan-bangunan kerajaan di bawah kawalan Jabatan Bandaran Tutong.

Penggredan ini termasuk gerai makan di Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong yang dimiliki oleh pihak kerajaan. Ia bertujuan semata-mata untuk menjaga kepentingan kebersihan semua pihak terutama bagi kepentingan para pengunjung dan orang awam.

Dengan adanya penggredan ini, ia akan memastikan tahap kebersihan premis-premis makanan, restoran dan gerai makan yang terletak di dalam seliaan Bandaran Tutong ini akan sentiasa dipantau dan mematuhi standard yang dikehendaki serta mampu bertahan pada tahap atau gred kebersihan yang tinggi.

Pengurus-pengurus makanan juga diseru mendokong sepenuhnya dasar kerajaan bagi menjaga kualiti dan mutu kebersihan di kedai makan, restoran dan gerai makan pada setiap masa.

Majlis berkenaan juga diikuti dengan penyampaian Sijil Penghargaan kepada panel pemeriksa yang terdiri daripada wakil-wakil dari beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan di Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan; Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Tutong; Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe); Jabatan Bandaran Tutong dan wakil-wakil perseorangan daripada pihak Swasta.

Created at 10/12/2016 14:53 by Hii Mei Peng @ Albiolynie Hii
Last modified at 04/11/2019 14:01 by Awang Wahyunul Ikhwan bin Haji Kassim