Pekan Tutong, Isnin, 11 Oktober 2021 - Dalam usaha bagi meningkatkan langkah-langkah dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di Negara ini, Jabatan Bandaran Tutong melalui Bahagian Perlesenan dan Percukaian hari ini telah mula melaksanakan Program Ujian Swab menggunakan kit ujian cepat antigen COVID-19 (COVID-19 Antigen Rapid Test Kit) keatas semua peniaga-peniaga gerai, pasar malam dan pasar ikan di bawah kawalan Jabatan Bandaran Tutong.
Inisiatif ini adalah usaha Jabatan Bandaran Tutong dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan orang ramai dan peniaga-peniaga yang terlibat dalam tempoh penularan wabak COVID-19 ini. Seramai 80 orang peniaga beserta pembantu telah menjalani ujian pada program ini yang dilaksanakan selama empat hari berturut-turut iaitu bermula pada hari Isnin, 11 Oktober 2021 hingga hari Khamis, 14 Oktober 2021 bertempat di Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong.
Dalam hubungan ini, para peniaga-peniaga gerai, pasar malam dan pasar ikan dan juga orang ramai adalah diharapkan untuk juga sama-sama memberikan kerjasama khususnya pengunjung-pengunjung untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan yang ditetapkan dengan menjaga penjarakkan sosial, mengimbas Kod QR dan pemakaian sungkup muka apabila memasuki bangunan-bangunan ini serta akan menjaga kebersihan kawasan pada setiap masa.